Juraimi Harap Dapat Dipanjangkan Umur

(Majalah Mikroskop Isu 35, Julai15-31,1997)

“SEMOGA SAYA PANJANG umur.” Demikian harapan Juraimi Husin, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan ADUN Batu Talam Datuk Mazlan Idris. Kata-kata singkat ini diucapkannya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 29 Disember 1995. Saya sedar wartawan, atau sesiapapun melainkan peguamnya, tidak sepatut berhubung langsung dengan tertuduh. Tetapi hari itu merupakan hari terakhir pertemuan kami dengan ketiga-tiga tertuduh bagi tahun 1994 sebelum perbicaraan disambung semula Januari 1995.

Setiap kali menjelang tahun baru, kebanyakan orang menanam azam baru. Si Tertuduh juga manusia. Seperti orang lain, tentu dia juga ada harapan tahun baru. Perasaan ingin tahu saya mmbuatkan saya memberanikan diri mengajukan mikrofon kepadanya ketika dia diiringi polis memasuki bilik mahkamah.

“Juraimi, Juraimi,” saya memanggilnya dari tepi pintu bilik mahkamah.

“Apakah azam tahun baru Juraimi? saya tanya.

Juraimi memandang ke arah kamera. Dia tersenyum. “Semoga saya panjang umur,” ujarnya.

Nama timangannya Gondrong atau Rong. Gondrong tu bunyinya macam orang bodoh. Tapi orangnya rajin. Tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman sendiri mengakui sifat rajin Juraimi. Juraimi rajin belajar silat. Juraimi juga rajin menjaga Mazdiana, anak perempuan Affandi dan Mona Fandey. Juraimi jugalah yang membina rumah yang didiami pasangan bomoh itu di atas sebidang tanah kepunyaan Datuk Mazlan di Ulu Dong.

Yang menarik ialah petuanya memotong mayat kepada 18 bahagian. “Tetak pada sendi sehingga patah dan cabutkan sahaja.” Itulah antara desas-desus yang saya dengar.

Benarkan Juraimi melakukannya? Adakah Juraimi diperalatkan oleh pasangan suami isteri itu sepertimana yang didakwanya? Kasihan Juraimi. Dia yang hanya berpendidikan setakat darjah tiga itu menganggap Mona dan Affandi sebagai ibu dan bapa angkatnya. Sebaliknya, mereka berdua menuduhnya melakukan pembunuhan itu seorang diri.

Benarkah dia tidak sedarkan diri untuk beberapa lama, termasuk ketika melakukan pembunuhan itu? Tiga puluh tujuh kali dia menjawab “tidak sedar” apabila disoal peguambela pasangan bomoh, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan selama satu jam.

Hakikatnya, ramai yang bersimpati dengan Juraimi, termasuk balu Datuk Mazlan, Datin Faridah Zainuddin. Ini jelas sejurus selepas keputusan juri diumumkan dan hakim menjatuhkan hukuman.

“Saya mohon ampun dan maaf kepada isteri Datuk, Datin Faridah, dari hujung kaki ke hujung rambut,” kata Juraimi menahan sebak.

Datin Faridah yang ditemui selepas itu dilaporkan berkata, “Ampun dan maaf Juraimi saya terima dan saya maafkan dia. Sebenarnya di antara saya dengan dia, tiada apa, ini adalah antara dia dengan Tuhan.”

Malah abang Datuk Mazlan, Aznim sendiri dikhabarkan berkata, “Saya kasihan pada Juraimi. saya bersimpati pada Juraimi. Saya bersimpati pada keluarga Juraimi. Sebagai orang Islam, saya maafkan dia.”

Bagaimanpun, perbicaraan mengambil kira bukti, bukan emosi. Dan bukti sebagaimana yang dihujahkan pihak pendakwaraya menunjukkan Mona, Affandi dan Juraimi ada niat bersama merancang dan membunuh Datuk Mazlan. Motif mereka? Wang, tanah dan harta lain yang berharga.

Akibatnya, ketiga-tiga mereka kini merengkok dalam penjara menunggu rayuan mereka didengar di mahkamah.

Advertisements