Protected: TV Time of My Life

This content is password protected. To view it please enter your password below:

Advertisements

Perbicaraan Penuh Kenangan

This is the fourth and final part of the series. Titled “Perbicaraan penuh kenangan“, it was published in Mikroskop Issue 36 (1-14 August 1997). 

SESUNGGUHNYA, tugasan membuat liputan kes perbicaraan pasangan bomoh Mona Fandey dan Mohd Affandi Abdul Rahman serta pembantu mereka Juraimi Husin suatu yang sukar dilupakan.

Catatan perbicaraan 69 hari itu di dalam 10 buah buku nota saya tinggal kenangan. Begitu juga pengalaman suka duka serta pengajaran sepanjang perbicaraan itu, saya rakamkan dalam sudut kecil ingatan saya. Tidak kurang juga pengalaman seram yang dilalui ketika itu.

Rumah kedua

Temerloh, khususnya Hotel Centrepoint dan Hotel Green Park pasti tinggal kenangan sebagai rumah kedua kami para wartawan sepanjang lima bulan perbicaraan berlangsung. Selain saya, wartawan lain yang dianggap regular ialah Esther Ng dari The Star, Selvi dari The Malay Mail, Khairul dari Berita Harian, Karim dari Harian Metro dan Kak Kamariah dari Utusan. Layanan daripada kakitangan kedua-dua hotel berkenaan terhadap kami cukup mesra. Begitu juga tunjuk ajar daripada wartawan lain kepada saya memandangkan ini kali pertama saya membuat liputan kes perbicaraan.

Membawa berita terkini

TV3 ialah satu-satunya stesen televisyen yang mengikuti kes ini dari awal hingga akhir. Dan sejajar dengan cogan katanya membawa “Berita Terkini, Hiburan Sensasi”, pelbagai cara kami gunakan untuk membawa liputan berita perbicaraan ini ke kaca TV.

Pada awal perbicaraan, helikopter dihantar dari Kuala Lumpur ke Temerloh semata-mata untuk mengambil pita yang merakamkan perbicaraan yang berlangsung pada hari berkenaan, agar visualnya sempat disiarkan dalam Buletin 1:30. Perjalanan menggunakan helicopter hanya mengambil masa kira-kira 40 minit berbanding dengan cara biasa menghantar pita melalui teksi mahupun bas yang mengambil masa lebih 4 jam.

Pada hari-hari lain, kami menghantar pita melalui teksi atau bas sekiranya untuk siaran Buletin Utama pada pukal 8:00 malam. Namun cara ini ada kekurangannya. Perbicaraan hari ke-51 iaitu pada 29 Disember 1994 tidak akan saya lupakan. Memandangkan hari itu juga hari terakhir perbicaraan sebelum disambung Januari 1995, TV3 sempat bertanyakan Juraimi tentang azam barunya.

“Semoga saya panjang umur,” katanya pendek sebelum dibawa masuk ke bilik mahkamah. Hati berkobar-kobar penuh bersemangat membuat laporan pada hari itu. Apa tidak, memang bukan senang untuk “interview” tertuduh. Sememangnya tidak boleh. Tapi dapat pula pada hari itu. Pita dihantar menggunakan bas awal-awal lagi sebaik selepas perbicaraan ditangguhkan. Ceritanya saya faks pada sebelah petang. Pukul 7 malam, saya menerima panggilan telefon dari pejabat.

“Mana tape?” tanya kerani pejabat. Terkejut saya kerana saya sudah menghantarnya pada tengah hari tadi. Sebagaimana yang saya ketahui kemudian, rupa-rupanya bas ekspres yang kami tumpangkan pita itu rosak di tengah perjalanan ke Kuala Lumpur. Sia-sia saya mendapatkan interviu denga tertuduh. Namun, mungkin itu suatu petanda bahawa ia suatu perkara yang tidak harus saya lakukan.

Terfikir juga apa yang berlaku pada hari itu mungkin satu daripada 10 perkara buruk atau yang tidak diingini akan berlaku.

Sepuluh kejadian buruk akan berlaku

“Sebelum perbicaraan ini berakhir, sepuluh kejadian buruk akan berlaku.” Begitulah kami, para wartawan diberitahu. Kejadian buruk macam mana kami sekadar tertanya-tanya sesama sendiri.

Susun jari dan bilang, memang adapun kejadian yang tidak diingini berlaku.

Antaranya, kereta TV3 yang dipandu jurukamera Bazaai terbabas pada suatu hari dalam perjalanan dari Kuantan ke Temerloh untuk membuat liputan. Mujur dia hanya mengalami kecederaan ringan. Salah seorang timbalan pendakwaraya turut terlibat dalam kemalangan jalanraya semasa dalam perjalanan menghadiri perbicaraan itu. Mujur hanya keretanya saja yang rosak dan orangnya selamat.

Pada hari ke-26 perbicaraan, peguambela pasangan bomoh itu, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan yang mengalami tekanan darah tinggi, terpaksa diwadkan. Pada hari ke-32 perbicaraan, sekali lagi beliau jatuh sakit dan dinasihati doktor agar berehat sehari, lalu perbicaraan terpaksa ditangguhkan. Kemudian, pada hari ke-52 perbicaraan, salah seorang juri pula diwadkan akibat sakit jantung. Dua hari sebelum berakhirnya kes perbicaraan itu, menantu lelaki salah seorang juri pula meninggal dunia. Sekali lagi, perbicaraan terpaksa ditangguhkan.

Kemuncaknya mungkin apabila kereta rasmi Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang dikatakan remuk akibat terbabit dalam satu kemalangan dan difahamkan beliau terpaksa datang bertugas menaiki kereta lain.

Cerita menyeramkan

Sepanjang perbicaraan itu, tidak kurang juga cerita-cerita yang cukup menyeramkan kami. Khabarnya ada mangsa lain selain Datuk Mazlan. Kami dibawa mengingati laporan akhbar pada tahun 1993 yang memaparkan penemuan tiga rangka manusia, dipercayai sepasang suami isteri Cina dan bayi mereka, di Kijal, Terengganu. Cerita tangkal dan azimat diperbuat daripada tengkorak manusia cukup menakutkan. Kedua-dua Affandi dan Mona dikatakan kebal. Kekebalan ini diperolehi dengan memakai azimat. Kononnya tetak tak lut dan boleh makan kaca. Namun, prinsip saya ialah tidak mempercayai sesuatu selagi saya sendiri tidak menyaksikannya dengan mata saya sendiri. Tapi, seorang wartawan akhbar tabloid pernah mendakwa melihat sendiri kebolehan Mona makan kaca dalam satu temuramah Mona sebagai seorang artis sekitar tahun 1987.

Perbicaraan ini sememangnya menarik perhatian orang rami sejak hari pertama lagi. Lebih-lebih lagi sekadar menjenguk rupa Mona Fandey khususnya. Saya masih ingat peristiwa di mana sebaik saja Mona dikhabarkan akan berada dalam kandang saksi, bilik mahkamah menjadi full house serta-merta. Di luar mahkamah, seorang wanita yang membawa seorang anak, tidak berkesempatan masuk ke dalam bilik mahkamah yang sudah sesak itu. Dia marah lalu terus mengamuk dan menyerang jurukamera TV3 apabila menyedari krew kami sedang merakamkan insiden berkenaan.

Berakhir juga

Namun, tumpuan semestinya pada hari teraknir di mana ketiga-tiga tertuduh dijatuhi hukuman. Perkarangan mahkamah sudah sesak sejak awal lagi. Krew tambahan dikerah dari Kuala Lumpur untuk liputan hari terakhir itu. Pada malam sebelumnya, krew teknikal tiba untuk memasang peralatan di bangunan Mahkamah Temerloh agar kami dapat membuat siaran secara langsung. Berita Terkini pada hari itu bermula jam 8:30 pagi, membawa penonton meninjau keadaan perkarangan mahkamah. Setiap jam berikutnya, pembaca berita Nasharudin Tajudin membawakan perkembangan terbaru. Sehinggalah keputusan juri diumumkan dalam bilik mahkamah pada jam 2:30 petang.

Nasharudin Tajudin menyampaikan Berita Terkini secara langsung dari perkarangan Mahkamah Temerloh, diperhatikan orang ramai.

Sebagai wartawan yang mengikuti perbicaraan ini sejak awal lagi, saya telah diberi penghormatan dan kepercayaan untuk membacakan keputusan hakim menjatuhkan hukuman gantung sehingga mati terhadap ketiga-tiga tertuduh, dalam Berita Terkini jam 3:30 petang. Hampir sakit jantung saya dibuat kerana tidak pernah membuat liputan secara langsung sebelum ini. Namun terpaksa juga melakukannya dengan salah silap di sana sini. Lega rasa saya apabila mengakhiri dengan “Kembali kita ke Bilik Berita”.

Demikian juga berakhir tugasan saya pada hari itu dan sekaligus untuk perbicaraan itu. Sementara wartawan media cetak lain baru nak mulakan kerja memfailkan laporan masing-masing, tugasan saya sudah berakhir, kerana segala bahan sudahpun berada di tangan mereka di KL dan hanya perlu diolah semula untuk Buletin Utama pada malam itu. Tidak dapat saya ceritakan perasaan lega pada ketika itu. Lega kerana semuanya sudah berakhir selepas lima bulan lamanya.

Semua ini kini tinggal kenangan.

ADDITIONAL PHOTOS FROM MY ALBUM

Left picture: With TV3 cameraman Bazaai, a trial witness and another witness’s daughter;              Centre picture: With TV3’s graphic artist Hanif and members of the defence legal team;                Right picture: With TV3’s graphic artist Shafinaz. (Another graphic artist I worked with was Faizal.)

Left picture: With reporters Michelle, Selvi and Esther at our “second home” Green Park Hotel:          Centre picture: With Shafinaz, members of the Chinese press and staff of Green Park Hotel;            Right picture: With a former varsity coursemate and his friend who were undergoing work training in the neighbourhood and turned up unexpectedly at the courthouse.

Camaraderie among the reporters… after a hard day’s work, we make time for a meal together.

Getting nervous knowing that after Nash breezes through his report, it would be my turn to report LIVE! … I survived 🙂

Juraimi Harap Dapat Dipanjangkan Umur

(Majalah Mikroskop Isu 35, Julai15-31,1997)

“SEMOGA SAYA PANJANG umur.” Demikian harapan Juraimi Husin, tertuduh pertama dalam kes pembunuhan ADUN Batu Talam Datuk Mazlan Idris. Kata-kata singkat ini diucapkannya di Mahkamah Tinggi Temerloh pada 29 Disember 1995. Saya sedar wartawan, atau sesiapapun melainkan peguamnya, tidak sepatut berhubung langsung dengan tertuduh. Tetapi hari itu merupakan hari terakhir pertemuan kami dengan ketiga-tiga tertuduh bagi tahun 1994 sebelum perbicaraan disambung semula Januari 1995.

Setiap kali menjelang tahun baru, kebanyakan orang menanam azam baru. Si Tertuduh juga manusia. Seperti orang lain, tentu dia juga ada harapan tahun baru. Perasaan ingin tahu saya mmbuatkan saya memberanikan diri mengajukan mikrofon kepadanya ketika dia diiringi polis memasuki bilik mahkamah.

“Juraimi, Juraimi,” saya memanggilnya dari tepi pintu bilik mahkamah.

“Apakah azam tahun baru Juraimi? saya tanya.

Juraimi memandang ke arah kamera. Dia tersenyum. “Semoga saya panjang umur,” ujarnya.

Nama timangannya Gondrong atau Rong. Gondrong tu bunyinya macam orang bodoh. Tapi orangnya rajin. Tertuduh kedua, Mohd Affandi Abdul Rahman sendiri mengakui sifat rajin Juraimi. Juraimi rajin belajar silat. Juraimi juga rajin menjaga Mazdiana, anak perempuan Affandi dan Mona Fandey. Juraimi jugalah yang membina rumah yang didiami pasangan bomoh itu di atas sebidang tanah kepunyaan Datuk Mazlan di Ulu Dong.

Yang menarik ialah petuanya memotong mayat kepada 18 bahagian. “Tetak pada sendi sehingga patah dan cabutkan sahaja.” Itulah antara desas-desus yang saya dengar.

Benarkan Juraimi melakukannya? Adakah Juraimi diperalatkan oleh pasangan suami isteri itu sepertimana yang didakwanya? Kasihan Juraimi. Dia yang hanya berpendidikan setakat darjah tiga itu menganggap Mona dan Affandi sebagai ibu dan bapa angkatnya. Sebaliknya, mereka berdua menuduhnya melakukan pembunuhan itu seorang diri.

Benarkah dia tidak sedarkan diri untuk beberapa lama, termasuk ketika melakukan pembunuhan itu? Tiga puluh tujuh kali dia menjawab “tidak sedar” apabila disoal peguambela pasangan bomoh, Ghulam Mustaffa Nadar Ali Khan selama satu jam.

Hakikatnya, ramai yang bersimpati dengan Juraimi, termasuk balu Datuk Mazlan, Datin Faridah Zainuddin. Ini jelas sejurus selepas keputusan juri diumumkan dan hakim menjatuhkan hukuman.

“Saya mohon ampun dan maaf kepada isteri Datuk, Datin Faridah, dari hujung kaki ke hujung rambut,” kata Juraimi menahan sebak.

Datin Faridah yang ditemui selepas itu dilaporkan berkata, “Ampun dan maaf Juraimi saya terima dan saya maafkan dia. Sebenarnya di antara saya dengan dia, tiada apa, ini adalah antara dia dengan Tuhan.”

Malah abang Datuk Mazlan, Aznim sendiri dikhabarkan berkata, “Saya kasihan pada Juraimi. saya bersimpati pada Juraimi. Saya bersimpati pada keluarga Juraimi. Sebagai orang Islam, saya maafkan dia.”

Bagaimanpun, perbicaraan mengambil kira bukti, bukan emosi. Dan bukti sebagaimana yang dihujahkan pihak pendakwaraya menunjukkan Mona, Affandi dan Juraimi ada niat bersama merancang dan membunuh Datuk Mazlan. Motif mereka? Wang, tanah dan harta lain yang berharga.

Akibatnya, ketiga-tiga mereka kini merengkok dalam penjara menunggu rayuan mereka didengar di mahkamah.

Affandi Menuntut Bermacam-macam Ilmu

(Majalah Mikroskop Isu 34, Julai 1-14,1997)

MOHD AFFANDI ABDUL Rahman ialah suami Mona Fandey. Saya masih ingat pertemuan pertama kami, juga hari pertama perbicaraan di Mahkamah Tinggi Temerloh, 12 September 1994. Affandi dibawa ke mahkamah dulu diikuti oleh Mona dan pembantu mereka Juraimi Husin. Di dalam bilik mahkamah, mereka bertiga duduk di bangku depan galeri umum sebelum dihadapkan ke kandang tertuduh. Sebelum dibacakan pertuduhan terhadap mereka, Affandi sempat bermesra dengan para wartawan. “Hello, how do you do?” katanya. Terlintas dalam fikiran saya ketika itu, “Hai, bersopan pulak Si Tertuduh ni.”

Demikianlah kebiasaan Affandi sejurus tiba di perkarangan mahkamah setiap hari selepas itu. Wartawan akan diberi salam dan ditegurnya dengan sopan.

Ketika memberi keterangan di mahkamah, Affandi memperkenalkan dirinya sebagai seorang peniaga, yang bergiat aktif dalam persatuan agama di Jawa Barat dan Thailand, serta dalam politik di tanah air. Orangnya nampak biasa. Tapi “kuasa” Affandi amat besar, sehingga ramai yang datang berjumpa dengannya untuk mendapatkan nasihat dan bantuan untuk menaikkan mereka dalam arena politik.

Dalam mendengar dan memerhati itu, kami mempelajari juga banyak perkara. Misalnya, macam mana memperolehi ilmu kuat dan gagah melalui lima jenis susuk ke dalam badan. Seseorang itu kena berpuasa tanpa makan benda-benda bernyawa dan berdarah selama tiga hari tiga malam dan kemudian selama tujuh hari lagi untuk memperolehi ilmu kebal. Sesudah mendapat ilmu kebal, seseorang itu boleh menidurkan sesuatu yang bernyawa dengan sekali sentuh, makan kaca pun boleh, malah kalis asid dan juga senjata.

Yang lebih menarik kalau mendapat tongkat, songkok dan azimat yang didakwa barang peninggalan “Bung Karno” (Presiden Soekarno). Bukan sekadar tidak lut ketika ditetak, malah sesiapa yang memakai songkok itu boleh menukar wajah! Hmm, terfikir juga ketika itu, betul ke Affandi yang memberi keterangan di kotak saksi atau orang lain yang telah bertukar wajah? Rupa-rupanya ada juga kerabat diraja dan timbalan menteri yang berminat memiliki barangan berkenanaan yang diletak harga RM2.5 juta, demikian dakwa Affandi.

Kadangkala seram juga saya mendengar keterangannya, termasuk bagaimana Datuk Mazlan ditetak ketika bermandi bunga dalam bilik air. Mana tak seram, cerita pasal badan manusia ditetak kepada 18 bahagian. Manusia jenis apa yang sanggup melakukan perbuatan kejam begini? Affandi mendakwa ia perbuatan Juraimi. Katanya, Juraimi berkelakuan seperti orang hilang pedoman ketika menetak halkum Datuk Mazlan. Juraimi pula dalam pembelaannya berkata dia melakukannya atas arahan Affandi.

Sejauh mana kebenaran keterangan dan dakwaan masing-masing, itulah tugas juri tujuh orang yang sabar mendengar sejak bermulanya perbicaraan. Saya cuma sabar melaporkan saja.

Kadang-kadang dalam membuat kenyataan itu, ada percanggahan juga. Misalnya, tertera pada business card Affandi (yang dikemukakan sebagai salah satu daripada 236 bahan kes dalam perbicaraan hari ke-55) nama syarikatnya Ambang Kurnia Sdn Bhd dan Mohd Affandi Ab. Rahman B.SC (commdn) Eng. M.I.E.M P.Eng.A.I. E.D. (U.K) selaku Executive Chairman.

Kalau ikut business cardnya Affandi berkelulusan kejuruteraan dari United Kingdom, tetapi baru dua hari sebelum itu, dia memberi keterangan hanya berpendidikan setakat LCE sahaja. Malah dia mengaku tidak pernah menjejak kaki ke United Kingdom pun.

Jadi mana pula timbul kelulusan berjela-jela itu? Seorang rakan wartawan komen, “Hmmm, nampaknya main letak huruf saje. Nak kelentong pun reallah sikit.”

Peguam pun hairan, apa tujuan dia meletakkan kelulusan yang berjela-jela itu? Mungkin untuk impress pelanggan peniagaannya? Affandi tegas dia tidak bermaksud untuk membohongi pelanggannya. Tapi apabila ditanya lagi peguam, Affandi menjawab dia tidak ingat pula.

“Saya tidak dapat berikan makna sebab ada tercatat dalam diari saya,” jawabnya.

Affandi juga berkata syarikatnya jadi perunding beberapa projek bertaraf antarabangsa, tapi tidak ingat nama projek. Affandi mendakwa dia seorang Haji. Menurutnya, dia menunaikan fardhu haji pada tahun 1986. Malangnya, dokumen pengesahan hajinya hangus terbakar dalam satu kebakaran di rumahnya tahun 1987. Begitulah katanya ketika memberi keterangan di mahkamah.

Antara pelbagai perkara yang dipersoalkan pendawaraya ialah peristiwa pada malam pembunuhan 2 Julai 1993. Selepas pembunuhan, Affandi beserta Mona dan anak mereka Mazdiana sempat ke Kuala Lumpur pada malam itu juga dan menginap di hotel. Keesokan harinya, sempat pergi membeli-belah. Beli telefon bimbit, barang kemas, perabot dan kereta dengan belanja melebihi seratus ribu ringgit. Semuanya dengan cash.

Tapi dia kata dia kelam-kabut sebenarnya. Terkejut dan tergamam melihat Juraimi menetak leher Datuk Mazlan. Perasaan dia masa itu, hanya dia dan Tuhan sahaja yang tahu.

Namun, juri tetap membuat keputusan sebulat suara. Kini, seperti isternya Mona Fandey dan pembantu mereka Juraimi Husin, Affandi merengkok dalam penjara menunggu rayuannya didengar.

Bersemuka Dengan Mona Fandey

(Majalah Mikroskop Isu 33, Jun 15-30, 1997)

“MACAM MANA ORANGNYA? Takut tak berdepan dengannya? Betul ke dia bomoh dan ada ilmu hitam?” Inilah antara soalan yang sering diajukan kepada saya yang kononnya “wartawan Mona Fandey”.

Gelaran ini diberikan kerana saya membuat liputan kes perbicaraannya di Mahkamah Tinggi Temerloh selama 69 hari sepanjang tempoh lima bulan. Ia bermula dari hari pertama 12 September 1994 sehinggalah Mona, suaminya Mohd Affandi Abdul Rahman dan pembantu mereka Juraimi Husin, didapati bersalah membunuh Ahli Dewan Undangan Negeri Batu Talam Datuk Mazlan Idris, dan dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 9 Februari 1995. Lebih dua tahun sudah berlalu. Masing-masing sudahpun memfailkan rayuan. Orang ramai masih tertanya-tanyakan nasib mereka.

Saya faham akan rasa ingin tahu orang ramai terhadap wanita yang dikatakan penuh misteri ini. Dia pernah menjadi bomoh menjual ubat-ubatan, menceburi politik sebagai Ketua Wanita Umno Cawangan Kebun Kelapa, Kelang, dan kemudian menjadi artis sebagai penyanyi dan pelakon. Namun, apa yang menjadikannya lebih terkenal mungkin gelagatnya sewaktu perbicaraan sehingga diberi label “tertuduh yang glamor”.

Malah, ketika membuat liputan perbicaraan itu, saya sendiri pun tertanya-tanya siapakah sebenarnya Mona Fandey. Persoalan ini terjawab pada pagi Jumaat, 20 Januari 1995.

“Saya OKT 3, Mona Fandey,” dia memulakan kenyataannya. Mona Fandey nama glamor. Nama sebenarnya Maznah Ismail. Nama lain yang didakwanya, Tengku Rohani Tengku Abdullah. Suara Mona lantang memecah kesunyian bilik mahkamah. Jam menunjukkan pukul 10:25 ketika Mona diiringi masuk ke kandang tertuduh.

Perbicaraan sudahpun masuk hari ke-61 apabila Mona, sebagai orang tertuduh ketiga, akhirnya mendapat peluang membela diri. (Sebelum ini, Mona dibenarkan memberi keterangan ketika diadakan bicara dalam perbicaraan untuk menentukan kesahihan kenyataan beramarannya.)

Seseorand tertuduh diberi tiga pilihan untuk membela diri. Pertama, memberi keterangan bersumpah di kotak saksi. Kedua, memberi kenyataan bersumpah dari kandang tertudah. Dan ketiga, dengan mendiamkan diri sahaja. Affandi dan Juraimi sebelum ini telahpun memberi keterangan bersumpah masing-masing.

Mona pula memilih untuk memberi kenyataan. Bezanya, jika peguam, hakim dan pihak juri dapat menyoal balas Affandi dan Juraimi apa-apa sahaja untuk mendapatkan kepastian, pilihan Mona itu langsung tidak membenarkan mana-mana pihak menyoalbalasnya.

“Cakap kuat-kuat sikit kerana hakim hendak mencatat,” peguambela Mona, Ghulan Mustafa Nadar Ali Khan mengingatkan anak guamnya.

“Apa ceritanya?” Pertanyaan Hakim Datuk Mokhtar Sidin lebih merupakan satu arahan untuk memulakan pembelaannya.

Bilik mahkamah pada hari itu full house. Di galeri umum, orang ramai yang memenuhi bangku yang disediakan memberi perhatian penuh. Begitu juga saya dan rakan-rakan wartawan lain yang menduduki bangku depan dan kedua yang dikira tempat regular. Inilah masa yang ditunggu-tunggu. Tangan kami terus aktif. Setiap patah perkataan yang diucapkan, kami catatkan. Satu patah pun tak ketinggalan. Begitu juga Hakim Datuk Mokhtar Sidin yang turut membuat notanya sendiri.

“Saya dan suami saya tidak merancang dan tidak langsung berniat atau apa-apa sekalipun mengakibatkan Datuk Mazlan dibunuh,” Mona memulakan pembelaannya.

Jelas dia cuba meyakinkan juri, hakim dan orang rami akan kejujurannya. Bisikan “penglipur lara” kudengar di kalangan hadirin, dan bagaikan penglipur lara, dia menyampaikan ceritanya secara berterusan selama satu setengah jam. Sesekali hakim atau peguamnya Ghulam Mustaffa akan berkata “Kemudian…?” atau “Lepas itu?”

Sepatah demi sepatah Mona melafazkan kenyataannya. Begitu rapi. Penuh aksi bergaya beserta intonasi suara. Penuh dramatis pula dengan unsur-unsur suspen, seram dan anti-klimaks. Nak kata dia berlakon, entahlah. Ada sekali Mona terbawa-bawa dengan ceritanya sehingga menyimpang daripada “cerita asal” lalu dia terpaksa memohon pada hakim, “Yang Arif, baca balik…”

Cerita ‘1001 malamnya’ sampai juga pada malam pembunuhan.

“Kelam kabut malam tu. Tuhan saja mengetahuinya. Saya cakap benar. Demi Allah, jika saya cakap tak benar, saya terkeluar dari umat Nabi Muhammad.” Ketika ini, air mata kelihatan mengalir. Dalam mata dikaburi air mata itu, dia sempat melihat reaksi para hadirin.

“Jangan ada yang cakap saya tak cakap benar. Apa heh heh heh tu. Macam tak percaya saya cakap,” suaranya meninggi menujukannya kepada para hadirin.

“Encik Ikmal (Ikmal Hisam Idris, peguambela Juraimi) pun sama, terhegeh-hegeh macam tu. Saya cakap betul, saya sedih.”

Di antara senyuman dan tangisannya, amat sukar untuk mengetahui bila dia sedih, bila dia gembira. Maklumlah orang yang pernah bergelar artis.

Mona memang terkenal dengan moodnya. Sepanjang perbicaraan itu, kami wartawan sedikit sebanyak dapat meneka moodnya. Bermula dari detik dia muncul menuruni tangga black maria (kenderaan polis yang membawanya). Mood baik diiringi senyuman manis. Moodnya kadang-kadang terpapar pada cara pemakaiannya. Kalau mood baik, cara pemakaiannya pun nampak lain. Bergaya sikit. Kata-kata pujian seperti “Kak Mona cantik hari ini” akan dibalas manis “Biasalah tu”. Kalau moodnya baik, menyanyi pun dia sanggup, seperti yang berlaku suatu hari di mana Mona meminta kebenaran hakim untuk menyanyikan lagu Nak Kutangis Tak Berair Mata. Sebaliknya kalau mood tak baik, muka sepanjang-panjangnyalah akan ditunjukkan. Khabarnya, Mona dikatakan pernah merajuk enggan menghadiri perbicaraan semata-mata kerana make-upnya kehabisan!

Ada bermacam-macam lagi gelagat Mona. Peguamnya melayan dengan sabar. Perasaan sabar seseorang ada hadnya. Begitu juga dengan Ghulam Mustaffa. Pernah berlaku Mona terlalu ghairah bercakap sehingga Ghulam Mustaffa hilang sabarnya dan terpaksa menegur anak guamnya secara terbuka.

“Nanti, jawab satu persatu,” kata Ghulam Mustaffa. “Sabar, sabar, hakim mahu tulis,” dia menasihati Mona. “Tengok hakim, habis dia tulis, baru cakap,” Ghulam Mustaffa memberi arahan. Tapi semua ini seperti tidak dihiraukan oleh Mona yang memberi alasan begitulah gayanya sebagai orang politik.

Mona juga pernah ditegur kerana naik khusyuk menceritakan kisah percintaannya dengan abang kepada seorang anggota polis.

“Saya minta maaf Yang Arif. Saya khayal kenang kisah lama,” akui Mona. Suaminya Affandi turut tertarik dengan gaya isterinya bercerita. Sebuah akhbar tabloid melaporkan bahawa “Affandi sukakan cerita Mona”.

Berbalik kepada soalan awal tadi. Perasaan takut tidak seharusnya timbul. Pada saya, Mona seorang manusia seperti orang lain juga. Liputan perbicaraan ini hanya satu lagi tugasan saya sebagai seorang wartawan. Dan seperti tugasan lain, ia memberi banyak pengajaran.

Cabarannya ialah untuk melaporkan secara objektif. Namun, perbicaraan seumpanya ini yang mendapat publisiti meluas, tidak dapat lari daripada menjadi bahan perbualan orang ramai. Apa yang didengar, ditokok tambah pula. Setiap orang ada pendapat sendiri, ada penilaian sendiri.

Sementara Mona dilihat sebagai seorang yang penuh beremosi, Affandi pula berlagak cool sepanjang perbicaraan.